Pages

Ads 468x60px

Labels

Monday, July 04, 2016

Tips Balik Kampung

Untuk mudahkan urusan ketika balik raya di rumah mak ayah di kampung, sila ikuti 15 langkah berikut :

1. Bawa balik seterika sendiri. Supaya x berebut. Kalau muat bonet, angkut iron board sekali.

2. Rumah di kampung kadang x ada aircond, kipas terhad, bawa balik 1 kipas sendiri. Kalau dapat elakkan tidur hotel atau homestay melainkan wujud keperluan mendesak.

3. Bawa balik extention cable sekali. Taklah berebut nak cas telefon, nak iron, nak blender dll.

4. Kalau perlu, tilam@toto pun bawa sekali.

5. Boleh tidur lewat malam raya, tapi jangan sampai terlepas solat di pagi raya. Ramai buat macam tu.

6. Ajar isteri dan anak perempuan untuk tolong mak basuh pinggan dan kemas meja lepas makan. Anak laki tolong atuk kemas rumah sapu laman, bakar lemang, ligan ayam dll.

7. Untuk elakkan anak-anak 24 jam dengan talipon, mak ayah pun kena elakkan dari 24 jam tengok hp. Kepimpinan melalui tauladan.

8. Untuk suasana harmoni, elakkan orang lelaki buka baju atau merokok ketika ramai-ramai di ruang tamu, atau di meja makan. Ia terkait dengan aurat, keselesaan dan 'respect'.

9. Santuni adik beradik yang sedikit 'kurang' berada dari kita. Jangan sembang bab kereta, telefon baru, beli rumah, pergi Korea dll. Kalau ditanya, boleh dijawab ringkas. Fokus pada silaturrahim.

10. Bagi duit raya pada mak ayah ikut kemampuan. Sikit atau banyak, kena bagi. Duit memang penting, namun 'keberadaan' kita bersama mereka lebih disyukuri.

11. Jangan selalu terperap dalam bilik. Ini biasa hobi menantu perempuan. Ringan-ringankan tulang bantu di dapur. Dan 1 lagi, time raya ni lah nak kenal saudara mara. Kalau terperap dalam bilik, mana nak kenal siapa yang datang.

12. Kalau ada lebihan rezeki, tolonglah beli barang-barang dapur. Beras pulut, daun palas, daging 3-4 kg. Kuih raya 3-4 balang dll. Paling koman 'kordial sunquick' pun kira dah soleh tu.

13. Jangan mudah terasa dengan tutur kata adik beradik ipar duai. Belajar berlapang dada. Jangan cemari kemaafan syawal dengan kemarahan kita.

14. Bagi yang beraya di rumah mertua, cuba enjoy dan menerima seadanya. Mungkin tak sama dengan raya kat rumah sendiri. Tapi nasiblah, sapa suruh kahwin!

15. Kita balik kampung bukan kerana budaya. Tetapi kerana mak ayah kita. Tanggungjawab kita. Kalau mereka sudah tiada, memori masih terpahat di sana. Nikmati masa tersebut. Hargai dan syukuri sebelum ia pergi.

Sila tambah lagi kalau rasa ada tertinggal!

Salam Syawal

Taqabbalallahu Minna Waminkum

Azizul Asri Ahmad Tajuddin

0 comments:

Post a Comment

 

KATA-KATA HIKMAH PROF. DR. HAMKA

'Kalau engkau dicintai orang dan mencintai, senangkanlah hatimu. Tandanya hidupmu telah berharga, tandanya engkau telah didaftar anak bumi yang terpilih. Tuhan telah memperlihatkan belas Kasih-Nya kepadamu lantaran pergaduhan hati sesama makhluk. Dan jiwa di seberang masyrik dan maghrib telah terkungkung di bawah satu perasaan di dalam lindungan Tuhan. Di sanalah waktunya engkau mengetahui rahsia perjalanan matahari di dalam falak, ketika fajarnya dan terbenamnya, tandanya Tuhan telah membisikkan ke telingamu nyanyian alam ini. Lantaran yang demikian, dua jiwa berenang di langit khayal, di waktu orang lain terbenam, keduanya berdiam di dalam kesukaan dan ketenteraman, bersenda gurau di waktu bersungguh-sungguh.



Dan jika engkau mencintai tetapi cintamu tak terbalas, senangkan jugalah hatimu. Kerana sesungguhnya orang yang mengusir akan jatuh kasihan dan ingin kembali kepada orang yang diusirnya itu setelah dia jatuh dari matanya: dia akan cinta , cinta yang lebih tinggi darjatnya daripada cinta lantaran hawa. Terpencil jauh membawa keuntungan insaf, kebencian meruncingkan cita-cita dan membersihkan perbuatan. Dengan sebab itu, engkau akan beroleh juga kelak tempat merupakan cinta itu, kalau tak ada pada insan, ada pada yang lebih kekal daripada insan. Bersedialah menerima dan menyuburkan cinta, walau bagaimana besarnya tanggunganmu, kerana cinta memberi dan menerima, cinta itu gelisah tetapi membawa tenteram. Cinta mesti lalu di hadapanmu, sayang engkau tak tahu bila lalunya.



Hendaklah engkau menjadi orang yang besar, yang sanggup memikul cinta yang besar. Kalau tak begitu, engkau akan beroleh cinta yang rendah dan murah, engkau menjadi pencium bumi, engkau akan jatuh ke bawah, tak jadi naik ke dalam benteng yang kuat dan teguh, benteng yang gagah perkasa yang sukar ditempuh oleh manusia biasa. Kerana tugu cita-cita hidup itu berdiri di seberang kekuasaan dan kemelaratan yang diletakkan oleh kerinduan itu sendiri.'



Cinta yang sejati adalah cinta di antara dua hamba Allah yang dipaterikan oleh cinta kepada Allah. Janganlah kita berkhayal kerana iblis suka meracuni jiwa yang lalai.